Zainuddin Maidin dirawat di ICU
Bernama
November 13, 2018 20:41 MYT
November 13, 2018 20:41 MYT
Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin sedang menjalani rawatan di Hospital Putrajaya di sini akibat paru-paru berair.
Menurut adiknya Abdul Lazam, Zainuddin yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan berada dalam keadaan sedar namun dinasihatkan untuk banyak berehat oleh doktor.
Sambil menafikan khabar angin Zainuddin berada dalam keadaan nazak, Abdul Lazam berkata: "Abang saya dalam keadaan sedar dengan keadaan sekelilingnya dan boleh bercakap dengan semua yang datang untuk melihat keadaannya."
Ketika dihubungi hari ini, beliau berkata laporan yang mengatakan Zainuddin,79, dimasukkan ke hospital selepas terjatuh di rumahnya di Presint 10 di sini juga tidak tepat.
"Abang saya mengadu sakit dada dan lelah. Melihatkan keadaannya agak serius semalam anggota keluarga memutuskan supaya dia dibawa ke hospital," katanya.
Menurutnya, Zainuddin dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Putrajaya kira-kira 10 malam semalam dan dimasukkan ke wad biasa sebelum dipindahkan ke ICU pagi ini selepas doktor mengesan air dalam paru-parunya.
Menurut Abdul Lazam, Zainuddin sebelum ini tidak menghidap sebarang penyakit serius.
--BERNAMA
#Abdul Lazam
#Bekas Menteri Penerangan
#hospital putrajaya
#ICU
#paru-paru berair
#rawatan
#unit rawatan rapi
#Zainuddin Maidin