Zainal Abidin Kasim dilantik Ketua Polis Kedah
Bernama
Januari 29, 2018 15:57 MYT
Januari 29, 2018 15:57 MYT
Timbalan Pengarah (Operasi), Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim dilantik sebagai Ketua Polis Kedah yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengambil alih tugas Datuk Asri Yusoff yang akan menggalas jawatan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Majlis serah terima tugas antara mereka yang berlangsung di Dewan Tan Sri Khalid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah disaksikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.
Zainal Abidin, 57, yang berasal dari Ulu Kinta, Perak menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2 Feb 1986 sebagai Asisten Superintendan memulakan latihan kepolisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.
Beliau yang sudah berkhidmat selama 32 tahun dalam PDRM berkata pengalamannya pernah menjadi Ketua Polis Daerah Kota Setar sebelum ini akan digunakan sebagai garis panduan dalam memimpin Kedah.
"Saya akan gunakan pengalaman yang ada untuk mengekang kegiatan gangsterisme dan dadah yang berlaku di Kedah dan saya akan pastikan apa yang dirancang oleh Asri mengenai pembasmian dadah akan diteruskan," katanya.
Turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) negeri, Datin Bedah Dollah kepada Profesor Madya Datin Roseleena Mohamed Noor. -- Bernama