Zaim Ikhwan, Ismanira akan mohon kes abai Zayn Rayyan ditarik balik

Sinar Harian
September 18, 2024 13:18 MYT
Zaim Ikhwan dan Ismanira hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Rabu, bagi prosiding sebutan kes mengabai Zayn Rayyan, Disember tahun lalu. - Foto Sinar Harian
PETALING JAYA: Pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa, ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin akan menghantar representasi supaya pertuduhan mengabai kanak-kanak autistik, yang dikenakan terhadap mereka, ditarik balik.
Ketika prosiding, peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, berkata, ia termasuk permohonan supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak semua kes tersebut.
“Selepas meneliti semua dokumen daripada pihak pendakwaan, kami akan hantar dokumen berkaitan kepada AGC dalam masa terdekat.
“Susulan itu, saya harap mahkamah menetapkan tarikh lain untuk keputusan representasi, sebelum perbicaraan kes bermula,” katanya.
Selepas mendengar perkara itu, Hakim, Dr Syahliza Warnoh menetapkan 6 Disember depan untuk keputusan representasi terbabit.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh berkata, pihak pendakwaan telah menyerahkan tiga salinan dokumen kepada pihak pembelaan, iaitu laporan syarikat telekomunikasi, forensik telefon bimbit dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Kami juga akan menyerahkan CD (cakera padat) termasuk dokumen berkaitan kes ini kepada mereka setelah ia dilengkapkan.
“Jadi saya mohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan yang mana kami akan memanggil seramai 15 saksi untuk memberi keterangan,” katanya yang turut disertai Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Eliza Amira Habib Rahman.
Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes ini berlangsung selama 15 hari, bermula tahun depan iaitu 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di Sungai, kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga jam 9.55 malam, keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu juga perlu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama tempoh dan syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah, serta melaksanakan khidmat masyarakat. -- Sinar Harian
#Zayn Rayyan #ibu bapa Zayn Rayyan #tuduhan ditarik balik #kanak-kanak autistik #kehilangan
;