Zailani Hashim kini Ketua Pengarah JPJ baharu

Harits Asyraf Hasnan
Disember 16, 2020 18:08 MYT
Zailani (tengah) berpengalaman dalam bidang keselamatan dan ketenteraman awam termasuk pernah menjawat jawatan Pegawai Integriti dengan pengalaman bertugas di KDN. - Foto JPJ
KUALA LUMPUR: Datuk Zailani Hashim dilantik sebagai Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan yang baharu bermula 15 Disember.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, Zailani berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam apabila pernah bertugas di pelbagai kementerian dan agensi.
"Sebelum ini beliau pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekosistem Keusahawanan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
"Selain itu, beliau juga berpengalaman dalam bidang keselamatan dan ketenteraman awam termasuk pernah menjawat jawatan Pegawai Integriti dengan pengalaman bertugas di Kementerian Dalam Negeri," memetik kenyataan itu.
JPJ pada masa sama yakin pelantikan itu akan terus memacu kecemerlangan jabatan itu dalam menggalas amanah negara sebagai agensi utama yang mengawal selia hal ehwal pengangkutan jalan di negara ini.
#JPJ #Jabatan Pengangkutan Jalan #Datuk Zailani Hashim
;