Zaid persoal Anwar berdiam diri ahli PKR saman Hadi Awang

Astro Awani
Februari 25, 2014 11:44 MYT
Calon Bebas yang akan bertanding di Kajang, Datuk Zaid Ibrahim mempersoalkan sikap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes saman ahli partinya terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Zaid mendakwa sikap berdiam diri Anwar itu memberi gambaran wujudnya perselisihan antara PAS dan PKR dalam gabungan yang dinamakan Pakatan Rakyat.
Katanya terdapat alternatif lain untuk menyelesaikan pertikaian antara dua parti politik tanpa menggunakan saluran undang-undang.
"Dari segi moral, tindakan ahli PKR untuk mendakwa Abdul Hadi menunjukkan pakatan tidak teratur dan saya hairan kenapa Anwar tidak menghalang ahli partinya menyaman kawan baiknya walaupun perkara itu berlaku semasa pilihan raya umum lepas," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Ahad, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengarahkan Abdul Hadi membayar saman berjumlah RM2 juta dalam penghakiman ingkar yang diperolehi oleh calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.
Abdul Hadi juga diarahkan membayar 5 peratus faedah dari writ yang difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas Abdul Hadi gagal untuk memfailkan writ bagi menangkis dakwaan Mohd Shamsul.
#Abdul Hadi Awang #Anwar Ibrahim #saman #Zaid Ibrahim
;