Zaid Ibrahim secara rasminya umum bertanding PRK Kajang
Haider Yutim
Februari 16, 2014 13:33 MYT
Februari 16, 2014 13:33 MYT
Bekas presiden KITA, Datuk Zaid Ibrahim hari ini secara rasminya mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Kajang sebagai calon bebas.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas pertimbangan membela prinsip politik sihat dan bersih, serta untuk menghormati mandat rakyat Selangor terhadap kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Keputusan ini telah pun saya fikir dengan baik, panjang lebar dan semasak-masaknya," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media pada Ahad.
Kata Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, rancangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat dirinya sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid adalah satu tindakan politik liar.
Bagaimanapun beliau menafikan tindakan beliau bertanding itu adalah kerana Anwar bertanding di situ.
Tambahnya jika Khalid dan pasukannya hendak 'disingkirkan', biar lah ia dilakukan melalui proses demokrasi di mana segala kelemahan dan kekuatan boleh diperbincangkan dan mengikut proses yang sesuai.