Zaid bertanding supaya Khalid terus kekal MB

Haider Yutim
Februari 16, 2014 17:02 MYT
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini berkata tujuannya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang adalah bagi memastikan Menteri Besar Selangor yang sedia ada, terus berkuasa.
Menurutnya, rancangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengangkat dirinya sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid adalah satu tindakan politik liar.
Justeru, beliau mahu menyekat rancangan tersebut bagi membolehkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus dikekalkan mandatnya untuk menerajui negeri Selangor.
"Saya mengiktiraf dan menghormati mandat kepimpinan yang sedia ada iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim dan ahli kerajaan negeri beliau.
"Saya telah menetap di Selangor selama lebih 35 tahun dan masa depan negeri ini penting bagi saya seperti mana negeri kelahiran saya, iaitu Kelantan," katanya dalam satu sidang media pada Ahad.
Zaid menyifatkan rancangan Anwar sesuatu tidak patut direstui dan jelas boleh membawa perpecahan kepada Pakatan Rakyat (PR) sendiri.
"Ada risiko bahawa penyalahgunaan kedudukan politik oleh Anwar untuk merampas kuasa Khalid akan memecahkan Pakatan Rakyat.
"Jika Anwar menang di Kajang dan Khalid enggan berundur, satu krisis politk bakal berlaku yang akan memberi kesan yang teruk kepada kerajaan negeri," katanya sambil mengatakan bahawa Anwar mungkin tidak akan diterima oleh Sultan Selangor.
Bagaimanapun, kata Zaid jika beliau menang, PR di Selangor akan aman dan Khalid akan terus kekal berkuasa sebagai Menteri Besar Selangor.
Ditanya mengenai strategi kempen yang bakal dilakukan beliau, Zaid berkata beliau lebih gemar berkempen secara kecil-kecilan.
Beliau juga memaklumkan akan mengadakan sesi-sesi dialog dan soal jawab dan bukannya ceramah seperti amalan kebiasaan yang dilakukan oleh PR.
Sementara itu, Zaid menafikan bahawa tujuannya bertanding itu adalah untuk memecahkan undi ataupun kerana Anwar bertanding di situ.
"Saya ingin menggunakan sesi ini untuk menjelaskan kepada orang ramai bahawa kempen ini adalah untuk membela kepimpinan yang bertanggungjawab," kata beliau.
Tambahnya, beliau juga akan menggunakan peluang berkempen bagi membantu kerajaan pusat dan negeri dalam usaha mengurangkan ketegangan kaum dan agama.
Selain itu, beliau turut meminta supaya para pengundi tidak 'mensia-siakan' peluang bagi menghantar mesej yang jelas kepada para pemimpin politik bahawa Malaysia harus terbuka dan telus terhadap individu yang memilih mereka.
Zaid hari ini secara rasminya mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Kajang sebagai calon bebas.
PKR pada 28 Jan telah menamakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon ADUN N25 Kajang.
Pengumuman itu adalah berikutan kekosongan kerusi DUN Kajang ekoran perletakan jawatan penyandangnya yang juga dari PKR dan mesyuarat pimpinan PR memutuskan untuk meletakkan Anwar sebagai calon yang akan mewakili PR.
Sehari sebelum itu, ADUN Kajang Lee Chin Cheh, telah meletakkan jawatannya yang disebut-sebut bagi memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor.
#Anwar Ibrahim #DUN #Kajang #Khalid Ibrahim #Menteri Besar #N25 #Selangor #Zaid Ibrahim
;