Zahirkan syiar agama, aspirasi hijrah dalam semangat kelaziman baharu - Zulkifli

Fauzi Suhaimi
Ogos 19, 2020 10:20 MYT
Zulkifli menjadi tetamu khas program bual bicara Meletop edisi Sambutan Maal Hijrah malam tadi. - Facebook Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Rakyat di negara ini disaran menyemai semangat penghijrahan menuju ke arah amalan kebiasaan baharu susulan pandemik COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu boleh diterapkan menerusi penghijrahan minda, semangat dan tekad dalam mengharungi kehidupan yang mencabar.
"Sesuai dengan tema kali ini, semua pihak diminta untuk menzahirkan syiar agama dan aspirasi hijrah tanpa mengira kaum dan agama untuk diterapkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) serta kebiasaan baharu dalam kehidupan.
"Ini kerana, perkara itu juga akan membawa kepada satu penghijrahan khususnya melibatkan minda, semangat dan tekad dalam meneruskan kehidupan yang penuh dengan cabaran dewasa ini," katanya pada Selasa.
BACA: Sambutan Maal Hijrah dalam norma baharu 20 Ogos ini - Zulkifli
BACA: Dr Zulkifli dilantik anggota Majlis Hukama' al-Muslimin
BACA: RCI TH: Perbincangan dijalankan secara tertib, menyeluruh - Zulkifli
Terdahulu beliau menjadi tetamu khas program bual bicara Meletop, edisi Sambutan Maal Hijrah, dihoskan Nabil Ahmad bersama Jihan Musa yang bersiaran di Astro Ria.
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M akan berlangsung dalam majlis ringkas di Masjid Negara petang ini.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, sambutan itu bertujuan untuk merapatkan saf semua rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai ras dan berbilang kaum agar menikmati kehidupan yang lebih tenang dan harmoni.
"Tema sambutan kali ini adalah Ummah Rabbani Negara Harmoni akan menekankan aspek penyatupaduan rakyat selain memupuk nilai unggul di semua peringkat lapisan masyarakat.
"Selain itu, ia juga berharap agar semua pihak menjunjung nilai keluhuran tatasusila dan mempunyai peradaban tinggi demi perpaduan sejagat," ujarnya.
#COVID-19 #hijrah #kebiasaan baharu #kelaziman baharu #koronavirus #Maal Hijrah #pandemik #penghijrahan #perintah kawalan pergerakan #perpaduan #PKP #rakyat #syiar agama #Ummah Rabbani Negara Harmoni #Zulkifli Mohamad Al-Bakri
;