Zahidi saran belia diberi cuti tujuh hari untuk hadir program belia

Bernama
Ogos 28, 2020 04:30 MYT
Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata ini disebabkan kurang galakan kepada golongan belia masa kini untuk menghadiri program, berbanding pada masa dahulu apabila golongan itu mudah mendapat peruntukan cuti. - Bernama
Golongan belia yang bekerja di agensi kerajaan atau syarikat swasta di dalam negara wajar diberi peruntukan cuti tujuh hari supaya dapat menghadiri program dan kursus kebeliaan terutama yang bersifat kenegaraan, patriotisme dan perpaduan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata ini disebabkan kurang galakan kepada golongan belia masa kini untuk menghadiri program, berbanding pada masa dahulu apabila golongan itu mudah mendapat peruntukan cuti.
"Sebab itu kalau kita lihat dahulu program belia diberi ruang cuti oleh kerajaan tetapi hari ini makin kurang. Begitu juga kesusahan belia untuk mencari peruntukan kewangan.
"Jadi kalau boleh kita kembalikan seperti cuti tujuh hari kepada belia yang bekerja dengan kerajaan atau swasta tanpa potong gaji supaya dapat menghadiri aktiviti belia terutama berkaitan program kenegaraan, patriotik dan dapat menyemarakkan perpaduan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Malam Deklamasi Puisi Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kebangsaan Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2020 malam tadi.
Terdahulu, Zahidi dalam ucapan perasmiannya berkata banyak pengorbanan dan sumbangan daripada golongan belia kepada negara terutamanya ketika negara dilanda pandemik COVID-19.
"Apabila kita lihat golongan belia ini, kerajaan boleh bergantung harap, contoh apabila COVID-19, maka ramai belia (berada) di barisan hadapan. Bukan sahaja (pasukan) polis, tentera kesihatan dan barisan media, tetapi juga golongan belia," katanya.
Program itu menyaksikan persembahan deklamasi oleh 14 pemuisi daripada ahli MAYC di seluruh negara. Turut hadir ialah sasterawan negara Prof Dr Lim Swee Tin yang turut mempersembahkan puisi beliau.
-- BERNAMA
#Belia #kerajaan #kesihatan #koronavirus #Malaysia #Media #menteri #perpaduan
;