Zahid, Zainuddin puji Bahasa Melayu Kor Ming

Sinar Harian
Ogos 6, 2018 10:16 MYT
Menurut Nga, pengalaman 20 tahun sebagai wakil rakyat banyak membantu beliau dalam menjalankan tugas baharu sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. - Gambar fail
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming terharu apabila prestasinya, terutama kelancaran berbahasa Melayu beliau semasa di persidangan Dewan Rakyat, dipuji ramai.
Memetik wawancara bersama Utusan Online, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, beberapa pujian diterima daripada Ketua Pembangkang yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.
“Ketika SPM, saya dapat A untuk Bahasa Melayu dan saya bersyukur ketika STPM saya dapat A untuk Kesusasteraan Melayu dan A untuk Sejarah Islam, menjadikan saya pelajar pertama di ACS Sitiawan mendapat A dalam sejarah 100 tahun,” katanya.
Menurutnya, pengalaman 20 tahun sebagai wakil rakyat banyak membantu tugas baharunya itu.
"Saya amat terharu dan bangga dengan tanggungjawab ini kerana saya sedar ini merupakan satu amanah yang cukup penting," katanya.
Nga menarik perhatian umum apabila beliau berjaya mengendalikan persidangan Dewan Rakyat dengan baik.
Bercerita lanjut, beliau berkata profesionnya sebagai peguam juga membantu beliau memahami peraturan mesyuarat lebih baik.
"Sebagai peguam yang berlatar belakang undang-undang, saya berasa cukup sinonim dengan Peraturan-peraturan Tetap Mesyuarat.
"Profesion saya membantu saya mengendalikan persidangan dewan secara profesional dan penuh tertib."
Menurut Nga, beliau pernah menjadi ketua pembangkang paling muda di negara ini ketika berusia 27 tahun.
Beliau merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Remis selama tiga penggal sebelum menjadi Ahli Parlimen Taiping dan Teluk Intan.
#Ahmad Zahid Hamidi #Bahasa Melayu #Dewan Rakyat #Nga Kor Ming #puji #SPM #STPM #Timbalan Yang DiPertua #wakil rakyat #Zainuddin Maidin
;