Zahid tarik balik rayuan dapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM

Bernama
November 12, 2022 17:27 MYT
Ahmad Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik rayuannya untuk mendapatkan rakaman percakapan beberapa saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).
Pada 9 Mei lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi sebagai contoh diugut agar memberikan keterangan berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.
Ahmad Zahid kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada bulan sama.
Notis pemberhentian rayuan itu telah difailkan di Mahkamah Rayuan semalam.
Seorang peguam yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.
Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pendengaran itu yang sepatutnya berlangsung 14 Nov ini telah dilapangkan.
Setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya yang bermula 13 April lepas.
Perbicaraan kes itu bersambung 16 Jan tahun depan.
Ahmad Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.
-- BERNAMA
#Yayasan Akalbudi #SPRM #kes rasuah #Zahid Hamidi
;