Zahid seru ketepikan politik, mohon pembangkang hadir di solidariti Palestin

Azyyati Ahmad
Disember 19, 2017 13:29 MYT
ZAHID: Demi mempromosikan keamanan bersama, perbezaan agama serta fahaman politik harus diketepikan. - Foto Fail
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru kesemua pemimpin dari mana-mana parti politik menyertai Perhimpunan Solidariti dalam memperjuangkan nasib rakyat Baitulmaqdis di Palestin di Masjid Putra pada 22 Disember ini.
Kata Datuk Seri Zahid, demi mempromosikan keamanan bersama, perbezaan agama serta fahaman politik harus diketepikan pembangkang.
“Saya meminta semua pihak mengenepikan perentasan sempadan politik, pelbagai warna dan bangsa untuk bersatu memperjuangkaan keberadaan Baitulmaqdis dan rakyat di situ.
“Kita tidak menjalin hubungan diplomatik dengan Israel tetapi menghormati hubungan yang terjalin dengan Amerika Syarikat.
“Namun apabila hak dan kota suci di Baitulmaqdis diceroboh dengan hasrat melenyapkan sejarah kota suci Islam itu, kita perlu menunjukkan suara kita untuk mempertahankannya,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan itu, berkata, setakat ini hampir 10,000 orang mewakili NGO, organisasi dan pemimpin parti politik telah mengesahkan kehadiran.
Beliau ditemui dalam sidang media selepas menyempurnakan perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri Disember 2017 di sini hari ini.
#NGO #Palestin #perhimpunan solidariti #Zahid Hamidi
;