Zahid, Najib tidak pernah tuntut kes mahkamah digugurkan

Ridauddin Daud
Ogos 27, 2022 17:42 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, pada Sabtu.
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau dan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menuntut agar kes mahkamah mereka digugurkan.
Tegasnya, tuntutan sedemikian tidak pernah disuarakan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meskipun beliau daripada UMNO.
Tambah beliau, UMNO sentiasa berpegang kepada keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang dan kerana itu beliau tidak membuat tuntutan sedemikian.
“Saya tidak pernah menuntut agar kes saya digugurkan, sama ada kepada Perdana Menteri ke-8, yang bergantung hayat dengan sokongan kita, apatah lagi kepada Perdana Menteri sekarang yang merupakan orang parti kita sendiri.
“Begitu juga dengan Datuk Seri Najib. Saya sendiri menjadi saksi, beliau secara konsisten berpegang kepada pendirian tidak mahu kesnya digugurkan.
“Akan tetapi sebaliknya, beliau mahu membersihkan diri dan dan nama baik keluarganya di mahkamah,” katanya ketika berucap pada Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini, pada Sabtu.
Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, melihat kepada beberapa siri rampasan barang dan tindakan dikenakan terhadap Najib, beliau menyifatkan pendakwaan kepada bekas Perdana Menteri itu adalah ‘pendakwaan politik’.
“Apa yang dituntut oleh Datuk Seri Najib hanyalah perbicaraan yang adil (fair trial). Ini yang menyebabkan kita terkilan kerana apa yang beliau pohon adalah ruang dan sedikit masa untuk mengemukakan bukti baharu.
“Apa yang dipohon adalah penangguhan bagi membolehkan barisan peguam barunya membuat persediaan rapi, bukan pengguguran kes atau sengaja mahu melengahkan kes.
“Apa yang diminta adalah pertimbangan untuk membenarkan setiap sudut perundangan dimanfaatkan,” ujarnya.
Soal Ahmad Zahid, apabila semua itu dinafikan, apakah salah sekiranya rakyat membuat pelbagai andaian dan mempertikaikan proses pendakwaan sebegitu.
#Zahid Hamidi #Najib Razak #Taklimat Khas Presiden UMNO #pendakwaan politik
;