Zahid Hamidi tiba di mahkamah bagi berdepan pertuduhan
Hilmi Malik
Oktober 19, 2018 08:30 MYT
Oktober 19, 2018 08:30 MYT
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini tepat jam 8.15 pagi bagi menghadapi beberapa pertuduhan.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas timbalan perdana menteri itu akan menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Beliau ditahan SPRM pada Khamis berhubung siasatan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya.
Turut hadir pada pagi ini bagi memberi sokongan kepada beliau termasuk Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Tidak ketinggalan, penyokong-penyokong UMNO yang berkumpul di perkarangan luar kompleks mahkamah sejak awal pagi sambil membawa sepanduk.
Pasukan keselamatan turut kelihatan bersiap sedia berkawal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Perbicaraan dijangka bermula jam 9 pagi.
Terdahulu, Ahmad Zahid meninggalkan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, di mana beliau ditahan malam tadi, kira kira jam 7.36 pagi.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu telah enam kali dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes itu dengan kali terakhir memberi keterangan semalam.