Zahid Hamidi lepas, bebas pertuduhan rasuah VLN
Umavathi Ramayah
September 23, 2022 11:42 MYT
September 23, 2022 11:42 MYT
SHAH ALAM: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini atas 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kesemua tuduhan terhadap Presiden UMNO itu di akhir pendakwaan.
"Selepas menimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.
"Justeru mahkamah memerintahkan tertuduh dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan," katanya ketika membacakan keputusan itu di sini, pada Jumaat.
Dalam penghakimannya, Mohd Yazid berkata, keterangan tiga saksi utama yang dikemukakan pendakwaan adalah tidak dapat dipercayai.
"Malah keterangan mengenai siapa yang menyerahkan wang tersebut seperti dalam pertuduhan juga memprejudiskan tertuduh.
"Saya mendapati saksi dan bukti yang dikemukakan pendakwaan gagal membuktikan wujudnya elemen penerimaan wang suapan.
"Saya menimbangkan keterangan secara keseluruhan dan selepas saya meneliti secara keseluruhan saya menolak keterangan beberapa saksi, ia menimbulkan keraguan sama ada wang suapan itu diserahkan kepada tertuduh," jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Yazid memberitahu, beliau membuat keputusan keputusan itu dengan berhati-hati.
"Dalam membuat keputusan ini, saya mengingatkan diri sendiri dari hari pertama sehingga keputusan ini dibuat, saya meneliti kseluruhan bukti pendakwaan dengan berhati-hati dan hujahan kedua-dua belah pihak.
Selepas keputusan dibacakan hakim, galeri awam yang dipenuhi dengan penyokong Ahli Parlimen Bagan Datoh itu menepuk tangan sambil bersalam sesama sendiri.
Keputusan di akhir kes pendakwaan dibuat oleh Hakim Mohd Yazid selepas mahkamah selesai mendengar keterangan 18 saksi di mana pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos lalu, dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung selama 33 hari bermula pada 24 Mei tahun lalu.
Antara saksi penting yang dipanggil memberikan keterangan adalah dua bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun dan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, V Mahendran.
Ahmad Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.