Zahid Hamidi harap MBM terus jadi ejen perpaduan, bentuk pemikiran belia
Bernama
Februari 25, 2024 18:07 MYT
Februari 25, 2024 18:07 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap Majlis Belia Malaysia (MBM) akan terus menjadi ejen perpaduan dalam membentuk pemikiran belia dan membantu kerajaan untuk mencapai lebih banyak kejayaan.
Beliau berkata usia MBM yang kini telah mencecah 75 tahun sejak ditubuhkan menonjolkan kematangan dan pengalaman majlis itu, yang seharusnya dijadikan pedoman buat ia merangka Visi MBM 2048 yang lebih inklusif dan holistik.
"Semoga MBM dapat terus menjadi kilang melahirkan pemimpin negara, menongkah segala cabaran dengan kebersamaan, kecekalan dan kebijaksanaan serta kekallah menjadi sebuah majlis yang relevan dan berpengaruh dalam mengangkat suara belia," katanya dalam hantaran yang dikongsi menerusi laman X.
Beliau turut menasihati barisan kepimpinan MBM yang diketuai presidennya Izzat Afifi Abdul Hamid bahawa pendekatan dan cabaran yang dihadapi kini berubah-ubah mengikut peredaran zaman.
"Di atas bahu kalian (ialah) amanah untuk mencipta agenda yang jelas dan sesuai dengan kehendak generasi masa kini," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memaklumkan beliau tidak dapat hadir pada Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan MBM kali ke-72 hari ini, justeru, ucapan perasmian penutup dibacakan oleh Setiausaha Politiknya Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.
"Meskipun tidak dapat turut serta disebabkan perubahan jadual kerja, perjalanan mesyuarat ini tetap saya amati kerana tersandar setinggi harapan kepada MBM untuk terus memikul amanah memimpin hala tuju belia ke arah pembinaan generasi MADANI yang unggul," kata Ahmad Zahid.
-- BERNAMA