Zahid hadir ke mahkamah dipercayai beri sokongan kepada Najib, Tengku Adnan

Ridauddin Daud
April 22, 2021 14:35 MYT
Zahid yang tiba pada sebelah tengah hari dilihat sempat berbual dengan Tengku Adnan dan kemudian memasuki kamar mahkamah kes melibatkan Najib. - Astro AWANI
PUTRAJAYA : Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat hadir ke Mahkamah Rayuan, di sini pada Khamis ketika prosiding dua pemimpin UMNO sedang berjalan di Istana Kehakiman, Putrajaya.
Ahmad Zahid yang berbaju putih tiba kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi dan sempat berbual beberapa minit dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tengku Adnan hadir ke mahkamah selepas Mahkamah Rayuan pada Khamis mendengar rayuan beliau terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.
Selain hari ini, mahkamah juga menetapkan 23 April dan 26 April untuk mendengar rayuan itu.
Tengku Adnan, 70, memfailkan notis rayuan pada 21 Disember lepas terhadap sabitan dan hukuman setelah Hakim Mahkamah Tinggi pada hari yang sama menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta terhadapnya selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan itu.
Selepas selesai berbual dengan Tengku Adnan, Ahmad Zahid dilihat memasuki kamar mahkamah kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Berpandukan visual dalam bilik 'video link', Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilihat duduk di belakang Najib dan beredar beberapa minit kemudian.
Prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara ke atas beliau berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta bersambung lagi hari ini selepas bermula pada 5 April lepas.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 5 hingga 8, 12 hingga 15 dan 19 hingga 22 April untuk mendengar rayuan itu.
#Ahmad Zahid Hamidi #Mahkamah Rayuan #prosiding #pemimpin UMNO #Istana Kehakiman #Najib Razak #Tengku Adnan Tengku Mansor