Zahid gesa SKMM pantau hantaran isu agama, perkauman oleh pemimpin politik

Fareez Azman
Mei 31, 2023 18:50 MYT
Ahmad Zahid berkata dapatan kajian CIJ mendapati sememangnya ada pemimpin politik yang cuba menyentuh isu sensitif itu di media sosial. -BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu memantau sebarang hantaran yang cuba menggunakan isu agama, perkauman dengan agenda tertentu, khususnya politik, di negara ini.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dapatan utama kajian Pemantauan Media Sosial Pada PRU15 oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mendapati sememangnya ada pemimpin politik yang cuba menyentuh isu sensitif itu di media sosial.
"Bagaimana orang-orang politik menggunakan isu agama, perkauman dan masalah yang sangat sempit (seperti) menoleh semula ke belakang harus diselesaikan.
"Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk harus menghormati antara satu sama lain.
"Dapatan kajian CIJ memperlihatkan bahawa isu sempit agama, kaum sengaja dibangkitkan untuk kepentingan politik.
"Malah fatwa pernah dilkeuarkan oleh seorang pemimpin parti politik untuk mengkafirkan parti politik lain atau mengharapkan apa yang dilakukan oleh ahli-ahli sebuah parti masih tidak ditarik balik," jelasnya.
Tambah Ahmad Zahid, ia menunjukkan perpecahan yang cuba dilakukan oleh parti politik berkenaan perlu dihentikan.
"Ini menunjukkan perpecahan di antara pengikut parti berbeza, tapi menganut agama sama jangan harus dizinkan.
"Saya harap KKD melalui MCMC harus memantau posting-posting dan juga tulisan yang menjurus ke arah itu.
"Kita harus bersama sama biarpun kita berbeda parti politik tapi dalam pembangunan sebuah negara bangsa, menghormati antara satu bangsa sama lain kita mesti bersama," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi libat urus program Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bersama masyarakat di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini pada Rabu.
Terdahulu, kajian dapatan CIJ dengan kerjasama Universiti Nottingham Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapati naratif kaum, agama yang menyinggung perasaan dan diskriminasi dicetuskaan ahli politik menguasai platform media sosial di negara ini ketika PRU-15 lalu.
#KKD #SKMM #agama #perkauman #politik
;