Zahid: Dia tidak berhak persoal undang-undang Malaysia

T K Letchumy Tamboo
Mac 23, 2013 12:11 MYT
Jamalul Kiram III, tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan undang-undang Malaysia.
Berikut reaksi Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas individu yang mengelar dirinya sebagai Sultan Sulu itu mengutuk kerajaan Malaysia kerana menuduh lapan warga Filipina atas tuduhan pengganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
“Biar mahkamah yang membuat keputusan. Dia tidak patut mempersoalkan undang-undang kita,” kata Ahmad Zahid dalam satu pesanan mesej ringkas kepada Astro Awani.
Turut menyuruh Jamalul untuk jangan mencelah dalam hal negara islah Peguam negara Tan Sri Gani Patail.
Gani memberitahu Astro Awani semalam, jika Jamalul datang ke Sabah dia juga akan dakwa dia atas tuduhan pengganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Jamalul, melalui jurucakapnya, Abraham Idjirani berkata tuduhan itu tidak sah kerana ‘Malaysia tidak memiliki Sabah’.
Idrijani menyatakan 'sultan' akan memfailkan aduan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kerajaan Malaysia yang mendakwa lapan warga Filipina sebagai pengganas.
"Kami mengutuk kekejaman pihak Malaysia kerana mereka tidak memiliki Sabah. Mereka hanya menghuni negeri itu. Malah kerajaan Malaysia masih membayar pajakan kepada 'Sultan' Sulu," dakwa Idrijani.
"Kami bimbang lapan warga Filipina itu kini didakwa atas tuduhan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati. Tuduhan itu tidak sah kerana Sabah di bawah takluk 'Sultan' Sulu," tambahnya.
Pada Rabu, lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas kesalahan melancarkan perang keatas Yang Di-Pertuan Agong serta menimbulkan keganasan.
Dua daripada tertuduh, Atik Hussin Abu Bakar dan Basad Manuel, berhadapan dengan hukuman mati dan yang lain akan dipenjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Atik dan Bashad didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan dibacakan bersama enam yang lain mengikut Seksyen 130KA kanun yang sama kerana menjadi ahli kumpulan pengganas.
Atik didakwa melakukan kesalahan di Kampung Tanjung Labian, Lahad Datu dari 9 Feb hingga 3 Mac lepas manakala Basad melakukan dua kesalahan yang sama dari 9 Feb hingga 2 Mac di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Empat individu lain, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi, Habil Suhaili dan Timhar Hadir didakwa kerana terlibat dengan anggota pengganas.
#Jamalul Kiram III #Lahad Datu #Ops Daulat #Sabah #Sulu #Tan Sri Abdul Gani Patail
;