Yusuf Islam kagumi visi dan daya pemikiran Tun Mahathir

Hamzah Hamid
Mei 4, 2015 07:44 MYT
Yusuf menyifatkan Mahathir sebagai salah seorang seorang pemimpin Islam dunia yang berfikiran luas. - Foto Astro AWANI.
Penyanyi yang juga aktivis agama, Yusuf Islam, menyifatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang pemimpin sepanjang zaman kerana kehebatan daya pemikiran dan juga visi beliau.
Seniman legenda yang dahulu dikenali sebagai Cat Stevens itu berkata demikian ketika ditemui selepas menjayakan program Agenda AWANI pada Isnin sempena kunjungannya ke negara ini bagi mempromosi buku kisah hidupnya 'Why Do I Still Carry A Guitar'.
“Ini bukan yang pertama berjumpa dengannya tapi dalam kunjungan kali ini memang saya ingin bertemunya untuk menyampaikan naskhah buku ini,” ujar Yusuf yang bakal menginjak usia 67 pada 21 Julai nanti.
Yusuf menyifatkan Mahathir sebagai salah seorang pemimpin Islam bijaksana di dunia dan beliau masih kekal diingati sebagai pemimpin hebat.
“Saya melihat beliau terus membentuk negara Malaysia walaupun dalam kedudukannya sekarang ini,” ujarnya yang telah berkongsi momen pertemuannya dengan Mahathir melalui akaun Twitternya @YusufCatStevens.

Met good friend and former Malaysian Prime Minister Dr. Mahathir & his wife @LetTheChangeBe pic.twitter.com/5qvt9qVd2v

— Yusuf / Cat Stevens (@YusufCatStevens) May 4, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Saya tinggal di Dubai. Saya tidak fikir Dubai akan wujud tanpa Mahathir kerana beliau telah mengatur visinya untuk Malaysia dan semua itu difahami oleh pemerintah Dubai lalu mula membina pembangunan di sana,” ujar Yusuf.
Penyanyi yang masih aktif menjayakan persembahan muzik kerohanian itu turut menyatakan bahawa Mahathir banyak meninggalkan impak yang besar dalam landskap politik global.
“Beliau dikenali kerana gaya pendekatan dan juga pandangannya yang luas, lebih-lebih lagi beliau seorang Muslim. Itulah yang kita perlukan, bukannya pemimpin yang berfikiran sempit atau terlalu nasionalistik,” jelasnya.
Pada 1 Mei lalu, Yusuf sudah berada di ibu negara untuk mempromosikan bukunya sempena Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.
Buku yang kini sudah berada di pasaran tempatan tersebut turut diterjemah ke Bahasa Melayu oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan judul 'Mengapa Saya Masih Memetik Gitar'.
Semua maklumat tentang aktiviti dan promosi Yusuf Islam boleh diikuti di akaun Facebook, Let The Change Be.
Yusuf Islam sewaktu mempromosikan bukunya di Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu. - Foto sumber Facebook 'Let The Change Be'.
#Let The Change Be #Tun Mahathir Mohamad #Yusuf Islam
;