Yusoff Rawther perlu bermuhasabah diri - Farhash Wafa Salvador
Hakim Rahman
Julai 15, 2021 14:56 MYT
Julai 15, 2021 14:56 MYT
KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak meminta bekas pembantu penyelidikan, Yusoff Rawther untuk bermuhasabah diri dan berusaha mencari rezeki secara halal selagi masih ada keupayaan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Yusoff memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi berhubung dakwaan serangan dan salah laku seksual Presiden PKR itu terhadap dirinya pada Oktober 2018.
"Saya khuatir kesihatan mental Yusoff Rawther terjejas sepanjang tempoh PKP akibat kesan ekonomi dan halangan kehidupan sosial.
"Dia (Yusoff) masih belum serik membuat tuduhan melulu malah kes sivil difailkan saya sebelum ini juga belum diselesaikan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, naratif yang disajikan juga tidak lari daripada mensensasikan fitnah yang bermotifkan politik dan khuatir kredibiliti kewartawanan akan terjejas sekiranya media memberi layanan terhadap Yusoff Rawther yang didakwa tidak serik mengada-adakan cerita.
Yusoff dalam tuntutan saman sivil memperincikan serangan seksual yang didakwa berlaku di sebuah kediaman di Bukit Segambut sewaktu bertugas sebagai pembantu penyelidikan kepada Presiden PKR itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, Yusoff memohon deklarasi bahawa defendan (Anwar) melakukan serangan seksual dan/atau beberapa perbuatan pencerobohan terhadapnya sehingga dia mengalami trauma dan perlu mendapatkan khidmat terapi psikologi.