Yusoff Rawther dipanggil semula ke Bukit Aman
Bernama
Disember 10, 2019 19:39 MYT
Disember 10, 2019 19:39 MYT
Muhammed Yusoff Rawther hari ini hadir semula ke ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman untuk memberi keterangan susulan dakwaan dirinya dicabul Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhammed Yussof hadir pada kira-kira 12 tengah hari dan dilihat beredar menaiki sebuah kenderaan sekitar 3.30 petang.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki itu dipanggil semula bagi membantu siasatan dan melengkapkan keterangan yang diambil pada Isnin.
"Dia dipanggil semula kerana kami belum selesai merakam keterangannya. Setakat ini, kita hanya mengambil keterangan daripada Muhammed Yusoff," katanya ketika dihubungi Bernama mengenai bekas kakitangan kepada pemimpin PKR itu.
Mior Faridalathrash berkata beberapa saksi termasuk ahli keluarga Mohammed Yusoff akan turut dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Muhammed Yusoff sebelum ini dilaporkan membuat perakuan bersumpah mengenai dakwaan cabul pada 2 Oktober 2018 itu. Anwar menafikan tuduhan itu.
-- BERNAMA