Yusoff Rawther beri keterangan lebih tujuh jam di Bukit Aman
Fareez Azman
Disember 9, 2019 23:34 MYT
Disember 9, 2019 23:34 MYT
Polis telah mengambil keterangan bekas pekerja Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Yusoff Rawther di Ibu Pejabat Bukit Aman pada Isnin.
Yusoff, 26, memberi keterangan kira-kira tujuh jam di ibu pejabat berkenaan berhubung dakwaannya berkaitan salah laku seks terhadap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dia yang tiba pada jam 1 tengahari itu dilihat bersama peguamnya Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebelum keluar dari perkarangan Bukit Aman pada kira-kira jam 9.15 malam
Mohamed Haniff ketika ditemui memaklumkan bahawa keterangan anak guamnya direkod oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Jelasnya, kerjasama penuh akan diberikan anak guamnya jika dipanggil lagi bagi memberi keterangan.
Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
Yusoff sebelum itu membuat satu akuan bersumpah (SD) pada 19 November sebelum membuat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur.
Dalam laporan itu, Yusoff antara lain bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung akuan bersumpahnya.
Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan beliau dan menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas.
Sementara itu, peguam yang mewakili Anwar, Ramkarpal Singh dalam pada itu menjelaskan bahawa pasukkan tidak dapat menyerahkan notis tuntutan kepada Yusoff.
#akuan bersumpah
#Anwar Ibrahim
#Bukit Aman
#jenayah
#Kuala Lumpur
#Mohamed Haniff Khatri Abdulla
#PDRM
#PKR
#presiden
#Presiden PKR
#SD
#siasatan
#USJT
#Yusoff Rawther