Yuran PIBG: KPM pantau, elak bayaran bebankan ibu bapa
Bernama
April 3, 2023 13:41 MYT
April 3, 2023 13:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memantau dan memastikan pihak sekolah mematuhi prosedur ditetapkan supaya caj yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dikenakan tidak membebankan ibu bapa, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM melalui Surat Pemakluman Sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru pada 15 Sept 2021 telah memberi peringatan kepada sekolah-sekolah agar tidak mengenakan bayaran tambahan dalam sumbangan PIBG dan pematuhan kepada garis panduan yang telah disediakan.
"Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa Guru) 1998 membenarkan PIBG untuk mengutip apa-apa sumbangan yang diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan daripada anggota dan keputusan itu hendaklah dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri yang merupakan Pendaftar Negeri.
"Dalam hal ini, Surat Siaran KPM Bilangan 4 Tahun 2011 Garis Panduan Kutipan/Bayaran Keperluan Persekolahan Di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan adalah berkaitan sebagai rujukan pihak sekolah," katanya pada sesi soal jawab bagi jawapan lisan di Dewan Negara hari ini.
Fadhlina turut menyarankan agar para ibu bapa hadir ke mesyuarat PIBG yang dianjurkan pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat dan justifikasi berkaitan caj yuran PIBG yang dikenakan.
"Sekiranya ada aduan haruslah dikemukakan secara mengikut aturan dan proses serta sekiranya ada aduan KPM akan kenal pasti dan akan turun bersama pendaftar negeri iaitu Pengarah JPN untuk memastikan pembetulan itu dibuat sama ada melalui mesyuarat ataupun ditetapkan oleh mana-mana peraturan lain di bawah pendaftaran negeri," katanya.
-- BERNAMA