Yu paus terjerut tali: Ini luahan kasihan kumpulan pemancing yang tersayat hati

Rohana Wahed
Disember 4, 2019 21:53 MYT
Visual berdurasi 1 minit 53 saat itu tular di media sosial selain mendapat ribuan tontonan di seluruh negara. - Facebook @animalmalaysia
“Ia datang mendekati kapal ini, memang tak mau lari. Memang ia seperti meminta pertolongan. Kita mulanya memanglah macam-macam (dalam) fikiran, takut pun ada. Tapi selepas kita tengok dia makin dekat menghampiri, kita usahakan untuk membuka ikatan tu, kerana ia betul-betul minta pertolongan.”
Demikian luahan Zaidi Suhaili ketika menceritakan pengalamannya bersama enam rakan pemancing menyelamatkan seekor yu paus yang tersangkut tali pada badannya 1 Disember lalu.
Visual berdurasi 1 minit 53 saat itu tular di media sosial selain mendapat ribuan tontonan di seluruh negara.
Kehadiran yu paus menghampiri bot pemancing itu jelas mengambarkan bahawa ia sangat memerlukan pertolongan segera.
Sementara itu, rakannya Adrian Ian mendedahkan keadaan ikan tersebut sangat menyayat hati.
Berdasarkan pemerhatiannya, tali yang melilit bahagian badan yu tersebut mengakibatkan kecederaan yang serius malah ada bahagian tubuhnya yang terkoyak.
“Ini kali ketiga saya jumpa yu semasa memancing. Selalunya ia datang pusing-pusing, ia takkan berhenti, dan akan lari.
“Tapi (kali itu), yu tersebut datang dan selepas itu ia stay (tidak berganjak). Jadi hati (rasa) kuat mahu tolong. Sebab tali jerut sudah masuk (terbenam) dalam badanya. Itu bermakna, sudah lama (ia terseksa),” ujar Adrian.
BACA: Video yu paus 'minta tolong' nelayan, tular di media sosial
Bagi Octaviouss Jitam, apa yang terjadi pada yu paus itu adalah bukti perairan Sarawak masih terdedah kepada pencemaran dan isu berkenaan memerlukan perhatian daripada semua pihak.
“Anda dapat lihat banyak sampah yang dibuang di sana sini. Ini ada kaitan dengan pemikiran orang. Kita kena bekerjasama dan pendidikan juga sangat penting.
“Kerajaan perlu membangunkan lebih banyak lokasi maritim dan hidupan liar di negara ini. Kita lihat yu paus itu terjerut di seluruh badannya, sampai kami rasa kasihan padanya,” ujarnya.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 11 pagi di kedudukan 54 batu nautika dari Santubong, pada hari ketiga pelayaran.
#alam sekitar #hidupan marin #pemancing #pencemaran #video tular #yu paus
;