Yu paus ditemukan mati di perairan Tanjung Tohor

Bernama
Ogos 17, 2019 05:49 MYT
Orang ramai melihat bangkai yu paus di Jeti Pengkalan Nelayan Parit Jawa pada Sabtu. --fotoBERNAMA
Seekor bangkai ikan yu paus seberat lima tan ditemukan hanyut di perairan Tanjung Tohor pada Sabtu sebelum dibawa sekumpulan nelayan ke Jeti Pengkalan Nelayan Parit Jawa, di sini.
Ketua Pejabat Perikanan Daerah Muar, Mohd Faris Adman berkata bangkai yu paus spesies Rhincodon Typus yang ditemui kira-kira tujuh batu nautika dari sini dibawa ke darat kira-kira 2 petang.
Beliau berkata, punca kematian ikan tersebut belum diketahui setakat ini dan ia akan dihantar ke Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Rantau Abang, Terengganu bagi menjalani proses bedah siasat.
"Dianggarkan ukuran yu paus ini sepanjang 6.1 meter dan lebar 1.5 meter manakala jantinanya masih belum dikenal pasti.
"Namun Unit Perlindungan Sumber, akan membuka kertas siasatan bagi mengetahui punca kematian termasuk maklumat lengkap berkaitan umur, jantina dan saiz sebenar ikan ini.
"Kami percaya yu paus ini mungkin sesat di kawasan perairan kerana lokasi ketika ditemui bukan habitat asalnya dan sebelum ini nelayan tidak pernah menjumpai ikan spesies itu di sini," katanya kepada pemberita di sini.
Mohd Faris berkata, yu paus terbabit akan diawetkan sebaik sahaja selesai proses bedah siasat.
Katanya, yu paus merupakan antara hidupan marin terancam dan pihaknya menasihati para nelayan sekiranya menemui spesies hidupan laut yang sedemikian untuk segera menghubungi agensi berkaitan.
"Kita berharap agar mereka tidak bertindak melulu sekiranya menjumpai spesies laut luar biasa yang masih bernyawa kerana tindakan sedemikian boleh didakwa di bawah akta berkaitan," katanya.
Terdahulu, gambar ikan itu tular di laman sosial dan insiden itu menarik ramai penduduk sekitar untuk melihat haiwan tersebut selain mengambil gambar bangkai haiwan itu.
-- BERNAMA
#awet #bedah siasat #hidupan marin #Jeti Pengkalan Nelayan Parit Jawa #kertas siasatan #Muar #nelayan #Parit Jawa #Pejabat Perikanan #Rantau Abang #Rhincodon Typus #Tanjung Tohor #terancam #Tular #Tumec #yu paus
;