YSIJ sumbang peralatan perubatan bernilai lebih RM28 juta

Bernama
Mac 5, 2022 20:52 MYT
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyampaikan sumbangan tersebut kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini. - Foto Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU: Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbang pelbagai peralatan perubatan bernilai lebih RM28 juta dalam usaha berterusan mencegah penularan wabak COVID-19.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menyampaikan sumbangan tersebut kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.
Turut berangkat Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim dalam catatan di Facebook baginda bertitah Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 400 unit ventilator 'non-invasive' (BIPAP) bernilai lebih RM8 juta, manakala Jabatan Kesihatan Johor menerima pelbagai peralatan perubatan bernilai lebih RM10 juta.
Peralatan perubatan diterima Jabatan Kesihatan Johor antaranya pelindung muka, pelitup muka KN95, ventilator, mesin dialisis, 'swabbing mobile' dan BIPAP.
Beberapa peralatan perubatan lain juga telah disampaikan kepada Jabatan Kesihatan Johor sebelum ini.
-- BERNAMA
#YSIJ #Yayasan Sultan Ibrahim Johor #sumbangan peralatan perubatan #Yayasan Temasek #Sultan Johor #Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
;