YSF 2024: Pemerkasaan generasi muda terhadap isu perubahan iklim, inisiatif mampan

Shaznina Rozman
Ogos 16, 2024 13:10 MYT
Wakil Kelab Belia Prihatin Malaysia mengadakan sesi 'pre-council' bersama Onn Hafiz (dua, kanan) sebelum Youth Sustainability Forum 2024 membuka tirai secara rasmi hari ini. - Foto YSF2024
JOHOR BAHRU: Isu perubahan iklim adalah sesuatu yang semakin berbahaya kepada dunia dan Johor khususnya, namun ia juga membuka peluang untuk membuat penambahbaikan yang diperlukan.
Menurut Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam menangani isu berhubung perubahan iklim di Johor, kerajaan negeri perlu mempunyai hala tuju yang jelas dari segi usaha untuk dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang.
“Johor berbangga dan sukacita menganjurkan acara Youth Sustainability Forum 2024 yang sangat penting itu dan menegaskan semula komitmen tidak berbelah-bahagi Johor terhadap inisiatif mampan dan hijau,” katanya.
Kelab Belia Prihatin Malaysia bersama Pusat Kelestarian Johor (Sustainable Johor), dengan sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Johor, bakal menganjurkan Forum Belia Kemapanan 2024 (Youth Sustainability Forum 2024 atau YSF 2024) yang dijadual berlangsung dari 16 hingga 20 Ogos, di beberapa bandar utama di negeri ini.
Presiden Kelab Belia Prihatin Malaysia Luqman Hakim Md Zim berkata, kerjasama semua pihak sama ada agensi kerajaan serta badan-badan korporat amat diperlukan bagi meningkatkan kesedaran sekali gus menterjemahkannya sebagai tindakan di lapangan.
Forum yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan menggalakkan tindakan proaktif terhadap isu kemapanan ini dijangka menarik kehadiran lebih daripada 1,000 delegasi dan pimpinan belia dari seluruh ASEAN.
#onn hafiz ghazi #Forum Belia Kemapanan 2024 #Johor #YSF 2024
;