YSD dan YCK tubuh bilik kaunseling di Pusat KL Krash Pad di Chow Kit

Bernama
November 20, 2013 22:55 MYT
Yayasan Sime Darby (YSD) dan Yayasan Chow Kit (YCK) telah bersama-sama menubuhkan sebuah bilik kaunseling hari ini di pusat KL Krash Pad untuk kanak-kanak kurang bernasib baik dan golongan belia yang terdedah di kawasan Chow Kit di sini.
KL Krash Pad merupakan sebuah pusat remaja dan belia di Chow Kit bagi memenuhi keperluan dan menjaga hak golongan tersebut yang mudah terjejas dan yang berisiko di kawasan itu.
Anggota Majlis Pentadbiran YSD Datin Paduka Othman berkata bilik kaunseling itu akan melindungi hak kanak-kanak dan remaja berisiko dan mendedahkan mereka kepada peluang untuk membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing dengan sepenuhnya.
"Kanak-kanak ini telah lama mengalami stigma negatif di kawasan yang cukup sinonim dengan pelbagai konotasi negatif. Ia menjadi tanggungjawab kami untuk melakukan sesuatu bagi memastikan mereka ini tidak terjebak dalam kancah maksiat," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.
Beliau berkata sebanyak 500 anak muda bawah 21 tahun berdaftar dengan pusat tersebut termasuk 50 pengguna setiap hari dan pelawat menggunakkan kemudahan di pusat itu.
Zaitoon berkata YSD telah menyediakan dana RM900,000 untuk YCK melaksanakan empat program pemerkasaan untuk kanak-kanak dan remaja tidak bernasib baik di kawasan Chow Kit untuk tempoh tiga tahun.
Program tersebut ialah celik huruf, kaunselor, memperkasa pendidikan dan motivasi dan latihan kemahiran asas.
Zaitoon berharap sokongan YSD untuk perkhidmatan kaunseling ini akan mewujudkan persekitaran selamat untuk belia, sekali gus membantu mempromosikan sikap positif dalam kalangan golongan tersebut.
Sementara itu, pengasas YCK, Dr Hartini Zainuddin berkata usaha sama itu bukan tentang usaha menyelamat mana-mana kanak-kanak berisiko tetapi matlamat untuk mewujudkan peluang kepada golongan itu.
"Bilik kaunseling ini akan mewujudkan ruang yang selamat untuk kanak-kanak membesar, berkembang dan membuat keputusan yang lebih bijak daalam hidup masing-masing," katanya.
#Yayasan Chow Kit #Yayasan Sime Darby