YPM teruskan program memperkasa taraf pendidikan pelajar

Bernama
April 29, 2022 09:14 MYT
Mohd Amran (dua, kiri) menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim pada Program Simfoni Ramadan anjuran Kelab Kebajikan Jaringan Teguh dan Yayasan Pelajaran MARA di Bangunan Tunku, Alor Setar, 28 Apr 2022. --fotoBERNAMA
ALOR SETAR: Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan meneruskan program untuk memperkasakan dan melonjakkan taraf pendidikan pelajar Melayu dan Bumiputera yang kurang berkemampuan pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif YPM Mohd Amran Mohd Ariffin berkata banyak program telah dirancang sebelum ini terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19 melanda negara sejak dua tahun lepas.
"Semasa fasa pandemik sebelum ini, kita berdepan sedikit kesulitan untuk laksanakan program, hebahan dan motivasi secara bersemuka. Sedangkan program seperti tuisyen dan penyampaian bantuan memang banyak dilaksanakan secara bersemuka bagi memudahkan komunikasi dengan pelajar.
"Sekarang kerajaan telah memberi kelonggaran selepas negara memasuki fasa peralihan ke endemik, jadi bolehlah YPM meneruskan kembali program-program tergendala dan diharapkan ia dapat memberi kesan lebih baik kepada mereka yang terlibat," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan duit raya kepada 50 anak yatim, miskin dan kurang berkemampuan dari kawasan sekitar Parlimen Kuala Kedah menerusi Program Simfoni Ramadan anjuran Kelab Kebajikan Jaringan Teguh dengan kerjasama YPM.
Mohd Amran berkata YPM juga akan memberi pengetahuan lebih banyak kepada pelajar mengenai peluang-peluang pendidikan yang ada di Majlis Amanah Rakyat (MARA).
"Sekiranya pelajar-pelajar ini belajar dengan bagus dan mendapat keputusan cemerlang, mereka ada ruang untuk pergi ke peringkat lebih baik dan boleh menyambung pengajian tinggi di bawah MARA," katanya.
-- BERNAMA
#YPM #Bumiputera #pendidikan #Mohd Amran Mohd Ariffin
;