YPASM perluas fungsi, dinamakan Yayasan Penyelidikan Antartika, Pelestarian Alam Sultan Mizan
Bernama
Oktober 18, 2022 06:45 MYT
Oktober 18, 2022 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), yang ditubuhkan 10 tahun lepas, secara rasmi ditukar nama kepada Yayasan Penyelidikan Antartika dan Pelestarian Alam Sultan Mizan selepas diperkenan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
Baginda bertitah pertukaran nama itu selaras dengan hasrat Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memperluas fungsi yayasan tersebut bagi membolehkan kepentingan penglibatan serta penyelidikan di Antartika dapat diterjemah kepada masyarakat melalui konsep Kesihatan Planet.
"Konsep ini menekankan penyelesaian secara menyeluruh dan holistik akan dapat menjelaskan hubung kait Wilayah Polar dan Malaysia sebagai sebuah negara tropika, contohnya melalui isu perubahan iklim, impak kenaikan paras air laut serta fenomena El Nino dan La Nina di peringkat nasional.
"Beta difahamkan peluasan fungsi yayasan ini tidak akan merencatkan perkembangan dan agenda Antartika Negara. Kerajaan melalui KASA menyatakan komitmen untuk meneruskan agenda Antartika seperti dipersetujui Jemaah Menteri sebelum ini dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Pihak Perunding Triti Antartika," titah baginda.
Sultan Mizan, selaku penaung yayasan itu, bertitah demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 YPASM di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPASM.
Sultan Terengganu turut menzahirkan keyakinan baginda bahawa di bawah teraju KASA dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, yayasan itu akan lebih berjaya pada masa depan.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menubuhkan YPASM pada 2012 bagi mencapai matlamat memulihara Benua Antartika serta menyumbang kepada penyelesaian masalah global termasuk isu perubahan iklim. Ia mula diletakkan di bawah kawal selia KASA pada 2020.
Sementara itu, Tuan Ibrahim ketika berucap berkata peluasan fungsi YPASM akan memberi kelebihan untuk terlibat lebih aktif dalam program serta aktiviti berkonsepkan Kesihatan Planet yang diterapkan KASA melalui seluruh agensi di bawah Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2020-2030.
"KASA akan turut sama terlibat bagi menyerlahkan peranan serta imej YPASM di peringkat nasional serta global," katanya.
Pada majlis sama, Sultan Mizan turut berkenan menyerahkan Pingat Tokoh Antartika Kebangsaan kepada Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah atas pencapaian serta sumbangan beliau dalam penyelidikan berkaitan perubahan iklim di peringkat nasional dan antarabangsa.
-- BERNAMA