YouTube larang 'challenge', 'prank' berbahaya

Astro Awani
Januari 17, 2019 08:30 MYT
YouTube memperbaharui garis panduan pengguna susulan banyak kes cabaran dan usikan yang keterlaluan dan mengundang bahaya.
Laman perkongsian video popular YouTube telah meningkatkan peraturan keselamatan susulan dua cabaran yang muncul baru-baru ini dinamakan Bird Box dan Tide Pod.
YouTube memperbaharui garis panduan pengguna di mana semua kandungan video yang memaparkan perbuatan berbahaya dan boleh membawa maut akan dilarang bagi menjamin keselamatan pengguna.
"YouTube adalah tempat di mana pelbagai cabaran dan pranks (usikan) kesukaan ramai diadakan, tetapi kami perlu pastikan aktiviti yang kelakar itu tidak keterlaluan hingga boleh menyebabkan kecederaan atau mendatangkan bahaya.
“Kami sebelum ini sudah mempunyai dasar melarang kandungan yang berbahaya dan yang boleh mengakibatkan kecederaan fizikal yang serius.
"Kami tidak benarkan pranks yang membuatkan mangsa percaya mereka benar-benar berada dalam bahaya secara fizikal,” menurut YouTube dalam satu kenyataan rasmi, menerangkan dasar baru itu.
YouTube juga turut melarang kandungan yang boleh membawa 'tekanan emosional yang parah' kepada penonton mereka.
Berdasarkan rekod lalu, pencipta YouTube gemar terlibat dalam cabaran yang berbahaya termasuk dengan memandu sambil mata ditutup, makan bahan beracun dan memberi dadah kepada rakan.
#cabaran #challenge #keselamatan #prank #usikan #video #YouTube
;