'You touch you go!' - Asyraf Wajdi ingatkan jangan sorok kes buli di MRSM, IPMa
Hasimi Muhamad
November 11, 2024 15:00 MYT
November 11, 2024 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMa) termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) agar tidak menyembunyikan kes buli.
Ringkasan AI
- Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan bahawa Institusi Pendidikan Mara (IPMa) tidak boleh menyembunyikan kes buli, dengan tindakan tegas terhadap pengetua yang terbabit.
- Tidak ada kompromi terhadap pelaku buli tanpa mengira latar belakang, dan pelaku akan dikeluarkan dari IPMa jika didapati bersalah.
- Terbaharu, seorang pelajar universiti mengalami kecederaan serius akibat dibuli oleh penuntut senior, menyusul insiden yang melibatkan pegawai kadet di UPNM.
Tegas beliau, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan agar tindakan tegas diambil ke atas pengetua terbabit, jika terdapat kes buli yang 'disorokkan'.
"Malah jika saya dapat maklumat ada usaha menyorokkan maklumat dan menutup kes-kes berkaitan buli atas apa jua alasan, Datuk Seri Zahid Hamidi telah mengarahkan saya untuk turut ambil tindakan tegas termasuk menukar pengetua, pengarah MRSM atau IPMa terbabit," katanya dalam kemas kini di laman Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi menambah pihakya tidak akan berkompromi terhadap pembuli, tanpa mengira latar belakang individu terlibat.
"Sebelum ini saya sudah tegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pelaku buli di mana-mana Institusi pendidikan MARA termasuk MRSM, Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).
"Saya tidak kira anak pembesar ke, anak orang kenamaan berpengaruh sekalipun, jika didapati melakukan perbuatan buli, mereka tiada tempat di IPMa; “you touch you go!”," katanya lagi.
Terbaharu, seorang pelajar tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober lalu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, pihaknya sudah merakam percakapan sembilan individu berhubung kes buli berkenaan, dengan suspek utama kes itu dijadual dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, petang Isnin.
Insiden berkenaan menyusul selepas seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan, ALK-UPNM dipercayai dibuli penuntut senior.