'You're the best' - Arthur Kurup kenang pemergian bapa
Hasimi Muhamad
April 17, 2024 21:44 MYT
April 17, 2024 21:44 MYT
KUALA LUMPUR: 'Terima kasih bapa... Anda terbaik'
Demikian kata Datuk Arthur Joseph susulan pemergian bapanya, mendiang Tan Sri Joseph Kurup.
Dalam kemas kini di laman Facebook, Arthur yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) turut memuat naik gambar mendiang bapanya, dengan tertera perkara "selamanya di hati kami".
"Saya sayang awak sepenuh hati saya," katanya dalam entri tersebut, sebentar tadi.
Kurup menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara kira-kira jam 7.30 malam pada usia 80 tahun.
Pemergian ahli politik veteran itu disahkan oleh Ketua Penerangan PBRS, Datuk Fredie Sua kepada Astro AWANI, malam ini.
Pada Januari tahun lalu, Kurup mengumumkan persaraan dari arena politik dan melepaskan jawatan sebagai Presiden PBRS berkuat kuasa serta-merta.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) dalam kemas kini di laman Facebook menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga atas pemergian Kurup.
"Semoga ahli keluarga tabah diatas pemergian ini. Salam Takziah daripada seluruh kepimpinan BN," menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, pengendali Facebook Datuk Seri Najib Razak menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, peramah dan disenangi ramai.
"Sentiasa memperjuangkan kebajikan dan keperluan orang Sabah, mengutamakan parti BN. Semoga tabah menghadapi dugaan ini," kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu juga mengucapkan takziah atas kematian tokoh politik berkenaan.
#Joseph Kurup meninggal dunia
#Arthur Joseph Kurup
#belasungkawa Joseph Kurup
#Institut Jantung Negara