'Yong Manis' dipindahkan ke Taman Negeri Royal Belum
Bernama
Julai 10, 2024 06:00 MYT
Julai 10, 2024 06:00 MYT
IPOH: Seekor gajah betina yang ditangkap selepas berkeliaran di Kampung Lasah, Sungai Siput sejak Mei lepas, telah dipindahkan ke Taman Negeri Royal Belum, Gerik, semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, mamalia berusia lima tahun seberat 1.1 tan yang digelar 'Yong Manis' ditangkap pada 6 Julai lepas dipercayai berasal dari Hutan Simpan Piah.
"Operasi memindahkan Yong Manis ke Taman Negeri Royal Belum mengambil masa kira-kira tiga jam dengan kekuatan 26 anggota Perhilitan Perak dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah.
"Kita menerima aduan kejadian gajah menceroboh kawasan kampung berkenaan sejak awal Mei menyebabkan bukan hanya tanaman durian malah kebanyakan pokok sawit dan getah milik penduduk kampung turut musnah," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
Penduduk Kampung Lasah boleh menarik nafas lega apabila Yong Manis ditangkap setelah dipercayai merosakkan pelbagai jenis tanaman termasuk durian.
-- BERNAMA