'Yong Cimut' dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu
Bernama
Ogos 22, 2021 20:46 MYT
Ogos 22, 2021 20:46 MYT
GERIK: Seekor gajah betina yang diberi nama "Yong Cimut" dipindahkan ke Santuari Gajah Sungai Deka, Terengganu hari ini setelah ditangkap kerana merosakkan kawasan kebun Kampung Plang, di sini pada 17 Ogos lepas.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata operasi memindahkan Yong Cimut yang dianggarkan berumur 40 tahun dengan berat badannya kira-kira 3.2 tan itu bermula pada 9 pagi dalam suasana terkawal dan tenang tanpa sebarang masalah.
"Khidmat dua ekor gajah denak iaitu Alam dan Rambai yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah digunakan dalam operasi tersebut untuk memujuk Yong Cimut sebelum berjaya dipindahkan ke atas lori.
"Operasi turut dibantu 15 anggota Kuala Gandah dan 10 anggota Perhilitan Perak. Operasi pemindahan tamat pada 12 tengah hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Yusoff berkata Yong Cimut sebelum ini telah memasuki kawasan kampung berkenaan serta kebun komuniti tempatan dan merosakkan tanaman sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM15,000.
-- BERNAMA