Yob Umbut berkeliaran di Gerik ditangkap
Bernama
Julai 21, 2022 07:00 MYT
Julai 21, 2022 07:00 MYT
IPOH: Seekor gajah jantan liar diberi nama Yob Umbut yang dilihat berkeliaran di Kampung Lalang dekat Gerik berjaya ditangkap Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Ahad lepas.
Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata haiwan dianggarkan berusia 25 hingga 27 tahun dengan berat kira-kira dua tan itu ditangkap pada pukul 10 pagi tidak lama selepas usaha mengesannya dilakukan.
"Tangkapan itu dibuat selepas kami menerima aduan daripada orang awam berhubung kelibat gajah liar dilihat di sekitar kampung berkenaan sejak April lepas.
"Gajah tersebut dipercayai datang dari kumpulan ID Temenggor," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata Yob Umbut dipindahkan dengan kerjasama pasukan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah Pahang ke Taman Negara Terengganu.
-- BERNAMA