YEZ 2021: PPZ-MAIWP sasar kutipan zakat RM800 juta

Ehsan A Marisah
November 15, 2021 17:21 MYT
Majlis pelancaran Kempen Year End Zakat 2021 (YEZ 2021) di Wisma PPZ, pada Isnin. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan jumlah kutipan zakat tahun ini mencecah RM800 juta.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, jumlah itu mampu dicapai dengan pelancaran Kempen Year End Zakat 2021 (YEZ 2021) bermula hari ini hingga 31 Disember depan.
“PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan zakat tahun ini sebanyak RM800 juta dengan 408,000 orang pembayar zakat dan jumlah agihan yang telah diberikan sebanyak RM555 juta dari Januari hingga September ini melalui pelbagai skim bantuan agihan.
“Pencapaian dari Januari hingga Oktober 2021 pula, PPZ-MAIWP telah berjaya mengutip sebanyak RM577 juta dengan 348,285 orang pembayar zakat dan hanya memerlukan sekitar RM233 juta sehingga penghujung tahun ini agar mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Year End Zakat 2021, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, tambah Abdul Hakim, kempen YEZ 2021 bertemakan ‘Berdiri Bersama’ itu adalah usaha pihaknya menyeru dan menggalakkan lebih ramai masyarakat Islam menunaikan zakat.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kempen ini merupakan seruan dan galakan kepada para pembayar untuk menyegerakan bayaran zakat mereka sebelum 31 Disember 2021 bagi menikmati rebat cukai pendapatan taksiran tahun 2021 di samping pelbagai aktiviti dilaksana sepanjang kempen.
“PPZ-MAIWP turut mengadakan beberapa program yang akan melibatkan para pembayar zakat, MAIWP dan para asnaf antaranya program turun padang, Bual Bicara Santai dan Super Sunday,” katanya.
Sementara itu, PPZ-MAIWP turut menyediakan kemudahan saluran pembayaran zakat bagi memudahkan urusan pembayaran selain peluang menang lebih 1,200 hadiah menarik.
Antaranya, 10 kaunter PPZ-MAIWP, portal PPZ-MAIWP dan aplikasi MyZakat, ejen-ejen kutipan zakat dan Zakat+ @MyTemujanji.
“Nilai tambah baharu yang ditawarkan kepada para pelanggan PPZ-MAIWP untuk menikmati kemudahan temu janji dan urusan pembayaran zakat.
“Zakat+ @MyTemujanji berperanan sebagai “one stop centre” bagi memberi pilihan kepada pembayar zakat untuk menetapkan temu janji bagi perkhidmatan, iaitu Kaunter Zakat Digital, Zakat Bergerak, Door To Door & Ride2U. Untuk tempahan boleh layari link di portal https://mytemujanji.zakat.com.my/," ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen, orang ramai boleh melayari www.zakat.com.my/yez2021.
#PPZ-MAIWP #YEZ 2021 #zakat #asnaf
;