YEF2023 tawar ribuan pekerjaan, platform suarakan pandangan

Faida Rahim
Mac 9, 2023 11:50 MYT
Ruzaini (tengah) berkata forum dan pameran ini juga mengetengahkan keusahawanan belia dan sosial serta kemahiran teknikal dan vokasional. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bertema ‘Melakar Masa Depan’, sebuah forum memperkasa belia Youth Empowerment Fair (YEF2023) bakal diadakan pada 18 dan 19 Mac ini.
Bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), YEF 2023 bakal diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kabinet serta pemain industri.
Pengurus Penganjuran YEF 2023 Ruzaini Hamzah memaklumkan penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan kepada para belia tentang peluang pekerjaan dalam era ekonomi digital.
“Forum dan pameran ini juga mengetengahkan keusahawanan belia dan sosial serta kemahiran teknikal dan vokasional,” katanya.
Dalam masa sama Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmi Mohd Nor yang hadir pada sidang media menjemput orang ramai memeriahkan acara ini nanti.
“Kami menjemput orang ramai khususnya golongan belia untuk datang beramai-ramai ke YEF2023.
“Ini peluang terbaik untuk belia berinteraksi dengan Perdana Menteri bertanyakan apa jua soalan mengenai masa depan anak muda. Tanya lah, apa sahaja. Kalau nak tanya mengenai isu KWSP pun boleh, tiada halangan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri dijangka hadir menemui pengunjung pada hari kedua dalam segmen khas ‘Temu Anwar di YEF2023’.
Turut hadir serta pada YEF2023 adalah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan ramai lagi.
YEF2023 mendapat kerjasama dari MINDS for Malaysia, Yayasan GoStrong, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi Dan Digital, Kementerian Sumber Manusia, Anwar Ibrahim Club (AIC) dan Astro AWANI selaku rakan media rasmi.
#memperkasa belia #YEF2023 #KLCC #Anwar Ibrahim
;