YEF 2022 platform memperkasa golongan belia negara

Haikal Raman
Oktober 31, 2022 20:45 MYT
YEF 2022 memberi fokus kepada perbincangan terhadap pelbagai isu utama sosio-ekonomi di peringkat negara, rantau dan global.
KUALA LUMPUR: Mengangkat tema ‘Overcoming Crisis – Dangers and Opportunities’, Forum Ekonomi Belia 2022 (YEF 2022) yang berlangsung pada Sabtu memberi fokus kepada perbincangan terhadap pelbagai isu utama sosio-ekonomi di peringkat negara, rantau dan global.
Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana (PFAA), Mistika Idris berkata, forum tersebut mengumpul pemegang-pemegang taruh seperti pihak kerajaan, sektor swasta dan orang awam dalam menentukan hala tuju ekonomi serta masyarakat ketika era endemik COVID-19 ini.
“Kita berdepan dengan krisis seperti pandemik global, inflasi dan perubahan iklim serta mempunyai pelbagai isu lain disokong dengan enam lagi agenda yang merangkumi topik berbeza termasuk pendidikan, kelestarian serta politik dari sudut pandang masyarakat.
“Ia sekaligus memberi idea yang komprehensif kepada golongan belia, apabila mereka keluar dan menyuarakan pandangan serta membuang undi… mereka dilengkapi dengan pengetahuan dan isu semasa tentang apa berlaku di luar sana,” katanya.
YEF 2022 | Platform terbaik memperkasa golongan belia negara
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Forum Ekonomi Belia 2022 di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Pengarah Bersama YEF 2022, Wei Min Jue berkata, pihaknya ingin memberi inspirasi kepada golongan belia menerusi perbincangan enam agenda diketengahkan pada hari ini dan mempersiapkan mereka dengan pengetahuan semasa.
“Apa yang diharapkan daripada forum ini adalah golongan belia negara terus dibawa ke hadapan dalam membina sebuah negara yang selamat dan lebih baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Felo Perdana, Muhammad Umar Izuan Mohd. Saffuan menyifatkan program YEF 2022 memberi banyak manfaat kepada golongan belia yang meliputi pelbagai aspek perbincangan.
“Forum ini meliputi pelbagai aspek perbincangan termasuk pembangunan, pendidikan dan kelestarian. Mereka yang hadir sudah tentu mendapat banyak ilmu pengetahun menerusi perkongsian daripada panel-panel bertauliah.
“Semestinya ia memberi impak positif kepada golongan belia bagi memahami isu semasa, sekaligus kepada negara keseluruhannya,” jelasnya.
Sementara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menghadiri YEF 2022 berkata, golongan belia perlu mengambil inspirasi daripada para pemimpin hebat di Asia dan juga di Malaysia untuk menggalas kepimpinan pada usia muda, sama ada dalam sektor swasta mahupun awam.
#FutureLeader #YEF2022 #LocalTalent #Forum Ekonomi Belia
;