Yee Khie idam kejuaraan sulung di Georgia

Bernama
November 4, 2021 20:16 MYT
Yee Khie meraih perak pada Sukan Paralimpik Tokyo menerusi angkatan seberat 237kg. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Atlet powerlifting paralimpik kebangsaan Jong Yee Khie mengimpikan untuk merangkul kejuaraan sulung bagi kategori 107 kilogram (kg) apabila dijadual beraksi pada Kejuaraan Powerlifting Para Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia, bermula 27 Nov-5 Dis ini.
Atlet kelahiran Sarawak itu berkata semangatnya kian membara untuk membaiki pencapaian terbaiknya setakat ini, iaitu selepas memenangi pingat perak pada Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos lepas dan kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lepas.
"Saya memang impikan untuk menang sebab tidak pernah lakukannya sebelum ini, tentu sekali saya lebih semangat untuk buktikan yang saya boleh baiki keputusan di Jepun dan UAE," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bukan sahaja turun dengan misi mengecap kejayaan di Georgia, bekas pendandan rambut itu menyifatkan kejohanan pertamanya selepas temasya Paralimpik di Jepun itu cukup penting baginya untuk mengumpul mata kelayakan Paris 2024 selain mata bagi ranking dunia.
Beliau kini berada di kedudukan kedua terbaik dunia di belakang badang dari Mongolia, Sodnompiljee Enkhbayar.
Ditanya sama ada beliau mahu cuba memecahkan rekod dunia 247kg milik Sodnompiljee yang dilakukan pada 2019, Yee Khie sebaliknya memberitahu fokus utamanya hanyalah untuk mengangkat bebanan terbaik dan seterusnya pulang dengan kejayaan manis di Georgia.
Atlet berusia 32 tahun yang kini giat berlatih di Sarawak sejak tiba di Malaysia dari Jepun pada Sept lepas, memaklumkan akan berlepas ke Georgia pada 24 Nov ini.
Yee Khie meraih perak pada Sukan Paralimpik Tokyo menerusi angkatan seberat 237kg namun beliau berjaya melakukan angkatan lebih baik yang juga catatan peribadi terbaik selepas mengangkat bebanan 239kg untuk mengesahkan perak sewaktu di UAE.
-- BERNAMA
#atlet powerlifting paralimpik #Jong Yee Khie