YDP Dewan Negara mahu Parlimen Belia disegarakan
Bernama
Oktober 11, 2013 19:12 MYT
Oktober 11, 2013 19:12 MYT
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berharap pelaksanaan Parlimen Belia dapat disegera sebagai menyedia landasan tepat ke arah memacu aspirasi belia.
Namun begitu, beliau berkata dasar kepada pelaksanaan itu perlu dikaji secara menyeluruh dengan mengambil kira kumpulan yang akan dibawa ke dalam persidangan, mengikut kepelbagaian kaum serta kematangan individu yang dipilih.
"Rangka sudah dibuat tetapi pelaksanaannya belum dimaklumkan lagi. Ini kerana kerajaan ingin fokus kepada membina kumpulan muda untuk memahami sistem kita dan menjadi pemimpin lebih maju di masa hadapan.
"Kita buat yang baik secepat mungkin kerana masa berjalan pantas dan kita ingin lihat peranan golongan muda cepat dibawa ke landasan betul ke arah membina kepada bangsa," katanya kepada pemberita selepas Forum Kepimpinan Negara anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Parlimen Malaysia dan Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Parlimen Belia merupakan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira dua tahun lepas.
Tujuan utama pelaksanaannya ialah melatih dan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda yang berkaliber dan berwibawa sejajar dengan keperluan negara pada masa ini dan akan datang.
September lalu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata persidangan pertama Parlimen Belia dijangka berlangsung pada Mac atau April tahun depan dengan perwakilan dipilih berdasarkan negeri.
Katanya, kementerian menjalankan pendaftaran pengundi warga Malaysia berusia antara 18 dan 40 tahun pada tahun semasa, dengan sasaran sekurang-kurangnya 200,000 pengundi di seluruh negara.