YDP Agong santuni mangsa banjir di Kota Tinggi

Astro Awani
Januari 13, 2025 14:10 MYT
Seri Paduka Baginda berkenan melawat PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota dan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KOTA TINGGI: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melawat mangsa banjir di daerah Kota Tinggi, Johor.
Perkara itu dikongsikan laman media sosial rasmi Tuanku pada Isnin.
Menurut kenyataan tersebut, Seri Paduka Baginda berkenan melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota dan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) Kota Tinggi.
Kedua-dua PPS itu dilaporkan sedang menempatkan kira-kira 390 orang mangsa banjir daripada 106 keluarga.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, serta Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus.
Sebelum ini Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, gelombang kedua banjir yang melanda Johor dijangka berlarutan hingga Sabtu depan.
Beliau berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, ketika ini empat daerah di Johor terjejas dengan banjir iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kluang
Jumlah mangsa banjir ialah seramai 3,104 mangsa daripada 881 keluarga.
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #banjir johor #Kota Tinggi #terkini
;