YDP Agong dan Ebit Liew bertemu, bantu mangsa banjir Pahang

Firdaus Azil
Januari 13, 2021 18:19 MYT
Al-Sultan Abdullah berkenan menyapa Ebit Liew di sebuah restoran yang menyajikan ikan patin di Temerloh, Pahang. Turut berangkat Tengku Hassanal Ibrahim.- Gambar Instagram Ustaz Ebit Lie
TEMERLOH: Penceramah terkenal, Ustaz Ebit Liew hari ini menzahirkan rasa terharu tidak terhingga atas keperibadian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang beliau temui di Temerloh, Pahang hari ini.
Melalui catatan terbaharu di Instagramnya, Ebit berkata, beliau tidak menyangka terserempak dengan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Aminah Maimunah Iskandariah di sebuah restoran yang menyajikan ikan patin.
Ujarnya lagi, pertemuan yang tidak dirancang itu berlaku apabila beliau selesai menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri antara yang paling terjejas teruk akibat bencana itu.
“Terharu sebak sangat. Selepas misi bantuan, rezeki Tuanku YDPA belanja makan ikan patin di Temerloh. Ya Allah. Malu sangat rasa sebab dari mula sampai akhir Tuanku YDPA layan dan jemput makan. Dari mula minta baca doa sebelum makan. Terima kasih.
“Tuanku ulang kali cakap ustaz terima kasih beri bantuan di negeri Pahang. Allahuakbar. Sebenarnya sikit sangat bantuan kami berikan di Pahang ini. Selalu nampak rombongan Tuanku YDPA setiap hari beri bantuan banjir,” katanya lagi.
Dalam catatan itu, Ebit turut berkongsi pemerhatiannya terhadap hubungan mesra dan kasih sayang yang terjalin antara Agong dan Permaisuri.
“Tadi masa makan YDPA Agong disuapkan Permaisuri Raja. Bergurau mesra. Kasih sayang. Cinta sampai syurga,” katanya lagi.
Sementara itu, akaun Instagram rasmi Istana Negara turut berkongsi beberapa keping gambar, tentang pertemuan dua tokoh yang amat dihormati rakyat Malaysia itu.
“Pertemuan Seri Paduka Baginda bersama Ustaz Ebit Liew adalah secara kebetulan apabila Al-Sultan Abdullah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong singgah menikmati santapan tengah hari di restoran Patin Station, Temerloh.
“Turut berangkat mengiring, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di restoran tersebut setelah Baginda berdua melawat dan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir di daerah Temerloh,” menurut catatan itu lagi.
Istana Negara berkata, dalam lawatan tersebut juga Seri Paduka Baginda berdua berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir untuk membantu meringankan beban yang ditanggung.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ini, jelas Istana Negara lagi, mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap mangsa banjir dan golongan yang memerlukan bantuan.
#Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah #Ebit Liew #Ustaz Ebit Liew #Istana Negara #mangsa banjir #rakyat Malaysia #Pahang #Instagram #rakyat #Malaysia
;