YBR, UniMAP naik taraf pembangunan fasiliti untuk kanak-kanak autistik
Hasimi Muhamad
Oktober 19, 2024 16:52 MYT
Oktober 19, 2024 16:52 MYT
KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Autism Hub for Educational Resources & Training (A-HEART) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Yayasan Tuanku Syed Putra menaik taraf Pembangunan Fasiliti Terapi Open Gym di Hab A-HEART dalam meningkatkan kesejahteraan golongan autistik.
Projek pembangunan fasiliti terapi tersebut yang dirasmikan hari ini merupakan hasil sumbangan RM100,000 oleh YBR, dengan RM20,000 daripadanya bagi membantu kanak-kanak autistik dalam kalangan keluarga B40 di Perlis bagi kemudahan terapi fizikal atau cara kerja yang lebih efektif.
YBR dalam kenyataan hari ini berkata A-HEART yang bertempat di Bangunan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) telah memulakan perancangan pembangunan Open Gym sejak September 2023 melalui kerjasama yayasan itu dan Pusat Terapi Senze for Mindz di Kangar.
"Inisiatif ini meliputi pemilihan peralatan terapi bersesuaian dengan keperluan anak autistik dan anak-anak berkeperluan khas.
"Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP telah mencemar duli ke PTSFP di UniMAP hari ini bagi merasmikan inisiatif tersebut," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Hadir sama dalam majlis perasmian itu adalah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Syaiful Rizal dalam kenyataan sama menjelaskan, penyediaan pembangunan fasiliti yang baik merupakan sebahagian daripada hasrat YBR untuk memastikan kanak-kanak autistik dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan selesa dan selamat serta membantu dalam mengembangkan potensi kumpulan itu.
"Selain itu, fasiliti yang dibangunkan di Open Gym ini juga secara tidak langsung menjadi platform kepada anak-anak istimewa mengembangkan potensi diri.
"Ia juga boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa atau penjaga untuk membantu anak-anak autistik meneroka dan meningkatkan keupayaan deria, kognitif dan pergerakan motor atau fizikal," ujar beliau.
Syaiful Rizal menambah kerjasama tersebut merupakan langkah positif bagi memastikan kanak-kanak autistik mendapat kemudahan pembelajaran yang baik dan kondusif.
Ia sekali gus dapat memberikan peluang kepada kanak-kanak itu untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan penyediaan keperluan yang lebih lengkap dan dapat menerima intervensi terapi secara berkesan dan lestari.
Untuk rekod, YBR telah memperuntukan sebanyak RM13.4 juta melalui inisiatif Program Pembangunan Pendidikan pada tahun ini.