YBR sediakan RM17,000 bantu pelajar di Port Dickson

Astro Awani
Januari 3, 2021 06:50 MYT
Mohd Najib menyampaikam sumbangan sempena Program Kembali ke Sekolah YBR di Port Dickson. - Foto YBR
KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan RM17,000 kepada 170 murid sekolah rendah dan menengah di sekitar Port Dickson bagi menerima bantuan persekolahan sempena Program Kembali ke Sekolah YBR.
Pemangku Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Mohd Fauzi Md Fadzil berkata, bantuan persekolahan yang bernilai RM100 disumbangkan kepada setiap murid yang telah dikenalpasti dalam kalangan keluarga berpendapatan B40 bagi pembelian baju dan kasut sekolah.
"Sumbangan yang diterima oleh murid-murid ini diharapkan dapat membantu mempertingkatkan minat mereka untuk hadir ke sekolah serta sebagai pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperoleh keputusan cemerlang.
"Kita prihatin dengan mereka yang memerlukan perlaksanaan bantuan ini dengan memberi peluang kepada golongan yang kurang berkemampuan terutamanya masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar membuat persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah.
"Diharapkan bantuan ini dapat mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung oleh keluarga bagi sesi persekolahan yang baru," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Turut hadir di majlis penyerahan bantuan itu ialah Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak Port Dickson (PEKA), Mohd Najib Mohd Isa dan wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Port Dickson, Kamaruzaman Habibur Rahman.
Dalam pada itu jelasnya, bantuan yang diberikan membuktikan keprihatinan badan bukan berkeuntungan dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat mengecapi limpahan ekonomi dalam negara.
"Program bantuan persekolahan anjuran YBR ini akan diagihkan ke 144 lokasi lain yang telah dikenal pasti.
"Ia bukan sahaja dapat membantu keluarga serta murid-murid yang kurang bernasib baik dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik, malah dapat membantu meningkatkan pencapaian pendidikan dalam negara supaya selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia," ujarnya.
Mohd Fauzi menjelaskan, pada 2020, seramai 23,721 murid telah menerima manfaat melalui bantuan ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.87 juta.
"Melalui bantuan yang disalurkan ini diharapkan agar dapat membantu ibu bapa dalam mengharungi saat-saat sukar ditambah pula dengan negara menghadapi gelombang ketiga pandemik COVID-19," katanya.
#Kementerian Pendidikan #COVID-19 #pandemik #ekonomi #sekolah
;