YBIM anjur misi hantar satu juta pek daging korban ke Palestin sempena Aidiladha ini

Astro Awani
Jun 10, 2024 10:30 MYT
Orang ramai juga boleh menyumbang dalam misi ini menerusi pautan ihsanpalestin.com atau hubungi talian hotline 019-9384005 atau mengimbas kod QR yang tertera.
KUALA LUMPUR : Menjelang Hari Raya Aidiladha, Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM) menganjurkan Korban Ihsan Palestin: Misi Hantar 1 Juta Pek Daging Korban ke Palestin.
Menurut Pengerusi Penganjur Korban Ihsan Palestin, Datuk Sr Rosli Atan, YBIM berperanan mengumpul daging-daging korban yang disedekahkan oleh peserta korban lalu dimasak dan diretort sebelum dihantar ke bumi Palestin.
“Misi Korban Ihsan Palestin ini dilancarkan pada waktu yang bertepatan kerana pada musim Hari Raya Aidiladha inilah banyak daging-daging korban dapat dikumpulkan dan disumbangkan sebahagiannya kepada rakyat Palestin manakala sebahagian lagi kepada fakir miskin di dalam negara kita.
“Kalau bulan-bulan lain tidak mungkin kita boleh mengumpulkan daging korban yang banyak. Oleh itu objektif Korban Ihsan Palestin ini adalah untuk menyumbang satu juta pek daging korban yang telah dimasak dan diretort terlebih dahulu sebelum dihantar ke Palestin sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.
“Misi Korban Ihsan Palestin ini dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa pertama adalah proses mengumpulkan daging korban sepanjang Hari Raya Aidiladha dengan jumlah haiwan korban yg diperlukan utk mencukupkan satu juta pek daging korban ini adalah kira-kira 1,000 ekor lembu. Selebihnya akan diagihkan kepada fakir miskin di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama AWANI Pagi, hari ini.
AWANI Pagi: Misi penghantaran 1 juta pek daging korban ke Palestin
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat OPS Ihsan, Jismi Joharin menjelaskan, peranan OPS Ihsan untuk membantu melaksanakan misi ini dengan jaringan kerjasama yang terjalin dengan pihak berkepentingan sebelum ini.
“Di pihak OPS Ihsan kami mempunyai segala pengetahuan dan jaringan kerjasama yang luas terutamanya dengan pihak berkuasa yang terbabit.
“Malah, pihak OPS Ihsan telah beberapa kali melakukan penghantaran ke sempadan Palestin dan misi kami berjaya. Justeru, penghantaran akan dilakukan dengan pelbagai cara,” ujarnya.
Orang ramai juga boleh menyumbang dalam misi ini menerusi pautan ihsanpalestin.com atau hubungi talian hotline 019-9384005 atau mengimbas kod QR yang tertera.
#Aidiladha #Palestin #YBIM #daging korban
;