YB Kasthuri Patto tamatkan zaman bujang dengan bekas wartawan Perancis
Astro Awani
Mei 7, 2022 17:45 MYT
Mei 7, 2022 17:45 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto menamatkan zaman bujangnya selepas berkenalan kira-kira tiga tahun dengan seorang bekas wartawan Perancis.
Perkahwinan sivil antara Kasthuri dan Alain Morvan diadakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, pada Jumaat.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), dalam majlis ringkas yang dihadiri kenalan rapat itu, pasangan berkenaan melafazkan ikrar di hadapan pendaftaran kira-kira pukul 11 pagi, yang disaksikan oleh ibunya, S Mary, 73, dan kakak Shaalini, 41, serta ahli keluarga lain.
Majlis itu turut dihadiri, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Duta Perancis ke Malaysia, Roland Galharague.
Kasthuri, 43, berkata, 'pertemuan pertama empat mata' itu bermula di Parlimen Eropah di Belgium pada Februari 2019 ketika satu kongres anti-hukuman mati.
"Selepas itu, kami kerap bertemu dan saya sedar kami mempunyai persamaan. Sebelum saya berlepas dari Belgium, kami merasakan kami ada satu hubungan yang kuat," katanya di sini, pada Sabtu.
Selain menyokong anti hukuman mati, Morvan sendiri menjadi aktivis hak asasi wartawan dan pernah menjadi wartawan selama 25 tahun.
Menurutnya, Morvan selalu melawatnya dan dia sendiri akan ke Perancis jika berpeluang ke negara itu.
Kasthuri berkata walaupun Perancis berada dalam senarai hitam perjalanan Malaysia sekatan penuh COVID-19, namun mereka bertemu di luar acara yang diadakan di luar Perancis.
“Pernah kami langsung tidak berjumpa untuk tempoh lebih setahun ketika pandemik," katanya.
Kasthuri berkata mereka akan menjalani kursus persediaan perkahwinan Katolik pada hari Isnin depan sementara perkahwinan di gereja dijadualkan pada akhir tahun ini.