YAYSH fokus bantuan kepada anak yatim tumpang - Norazam
Wan Syamsul Amly
Julai 13, 2015 10:58 MYT
Julai 13, 2015 10:58 MYT
Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) kali ini mensasarkan bantuan lebih kepada anak-anak yatim tumpang yang tinggal bersama saudara keluarga mereka.
Anggota Lembaga Pengarah YAYSH Datuk Seri Norazam Shah Ibrahim berkata, ia dilihat langkah terbaik memastikan sumbangan terus kepada golongan sasar berbanding banyak rumah anak yatim yang sudah terjamin bantuan mereka.
"Kami mensasarkan bantuan kepada anak-anak yatim tumpang iaitu mereka yang tidak tinggal di rumah anak-anak yatim tetapi menumpang di rumah pakcik, makcik, nenek atau saudara berdekatan.
"Kita difahamkan banyak pihak lain yang membantu rumah-rumah anak yatim, jadi anak yatim tumpang ini kurang mendapat perhatian dan perlu dibantu," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada majlis bantuan sumbangan anjuran YAYSH - Sumber gambar Norazam
YAYSH kali turut menumpukan kepada persiapan anak-anak yatim berkenaan untuk menyambut perayaan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.
Dalam pada itu jelasnya, bantuan juga tidak tertakluk semasa hari raya namun sumbangan harian termasuk musim persekolahan.
"Setiap tahun jumlah penerima akan bertambah dan jika musim cuti sekolah, kita membantu dari segi kelengkapan serta fokus mula sekolah.
"Sudah empat tahun kami menganjurkan program seumpama ini, selain ayam yatim tumpang, kita turut memberi sumbangan kepada ibu tunggal, warga emas, fakir miskin serta Orang Kurang Upaya (OKU)," jelasnya.
Penubuhan YAYSH adalah untuk membela nasib anak-anak yatim piatu yang miskin serta tiada penjagaan yang sempurna, tanpa mengira darjah pencapaian akademik.
Anak-anak ini ditanggung keseluruhannya sehingga mereka boleh berdikari.
YAYSH telah ditubuhkan secara rasminya pada 15 Julai 2011.
Penubuhan yayasan anak-anak yatim ini adalah manifestasi daripada nilai kelembutan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah yang senantiasa peka dengan perkembangan semasa berkaitan dengan lingkungan kehidupan kanak-kanak sebagai legasi kesinambungan negara pada masa hadapan.