Yayayan Ikhlas, Ahmad Iqbal turun padang bantu pesakit saraf
Faida Rahim
Jun 28, 2023 23:48 MYT
Jun 28, 2023 23:48 MYT
KUALA LUMPUR: Penderitaan Muhammad Hafizuddin atau Hafiz, 21 tahun, dari Terengganu yang diuji penderitaan penyakit saraf sejak lima tahun lalu mendapat perhatian Yayasan Ikhlas (YI).
Pengerusi YI, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin memaklumkan, Kempen Bantu Pesakit Sihat (BPS) merupakan usaha pihaknya dalam membantu golongan yang tidak berkemampuan dan memerlukan bantuan kewangan serta perubatan.
"Kempen Bantu Pesakit Sihat ini sudah berjalan selama dua tahun lalu, kalau diikutkan sudah ramai pesakit yang kami berjaya bantu sejak kempen ini berjalan. Kes adik Hafiz antara yang terpencil kami usahakan baru-baru ini,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, pihak YI telah berkunjung ke kediaman Hafiz di Kuala Terengganu dan disertai ahli perniagaan serta pempengaruh, Ahmad Iqbal Zulkefli.
Menurut Iqbal, namanya pernah ‘dipetik’ dalam kalangan warganet untuk membantu adik Hafiz.
“Saya bersyukur ia dipermudahkan menerusi kerjasama dengan YI ini. Lagipun sementara nama saya dikenali, boleh guna peluang ini untuk ajak masyarakat menderma terus ke YI bagi Kempen BPS.
“Dari Kuala Lumpur saya terbang Ke Kuala Terengganu untuk menjayakan lawatan bersama YI ke rumah adik Hafiz. Malah sempat juga saya, pihak YI dan sukarelawan universiti mengemas rumah, membaiki bahagian rosak dan mengecat kediaman, membeli peralatan dapur serta katil khas kepadanya,” ujarnya.
YI akan memberikan bantuan berkala selama setahun seperti bantuan susu, lampin pakai buang, bantal dan tilam kepada Hafiz.
Bantuan itu juga akan disusuli perkembangan kesihatannya sehingga mendapat berat badan yang lebih baik manakala anggaran kos yang perlu ditanggung bapanya juga adalah sebanyak RM2,000 sebulan.
Tahap kesihatan Hafiz yang menetap di Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk dilaporkan merosot sejak terjatuh tangga di sekolahnya ketika berusia 16 tahun.
Berusia seperti remaja, namun hakikatnya adik Hafiz berbadan kecil dan kurus kerana beratnya hanya sekitar 10 kilogram.
Lima bulan selepas kejadian berkenaan, anak bongsu dari lima beradik itu mengalami demam panas sehingga pergerakannya terbatas dan tidak lagi seimbang.
Lebih menyayat hati, ibunya, Khatijah Muhammad sudah meninggal dunia empat tahun lalu akibat penyakit kanser payu dara.
Bapa Hafiz, Ismail Wahab merupakan seorang pesara berusia 63 tahun kini mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga dan menguruskan anaknya.